Latihan Industri
Pihak
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia memperkenalkan dan mewajibkan latihan
industri ini sebagai satu bentuk pendedahan dalam menghasilkan pelajar lulusan
Politeknik yang berkualiti dan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan. Hal ini
demikian kerana para
pelajar berpeluang untuk mengaplikasikan segala teori yang telah
dipelajari kepada bentuk praktikal. Terdapat lima ketetapan objektif
yang perlu dititikberatkan dan dicapai oleh setiap pelajar yang menjalani
latihan industri. Antara lima objektif utama latihan industri tersebut adalah
seperti yang berikut :
- Membina personaliti individu yang positif
Seseorang
pelajar boleh ditakrifkan sebagai pelajar yang mempunyai personaliti individu
yang positif sepanjang menjalani latihan industri melalui cara pelajar
mempamerkan keyakinan diri dan sikap berdikari ketika berinteraksi dan
berkomunikasi dengan semua kakitangan serta orang awam dan tidak kekok untuk
menyesuaikan diri dengan semua keadaan. Latihan
industri diadakan adalah untuk membantu pelajar menonjolkan kebolehan dan
keupayaan diri. Sikap kerjasama berpasukan dan kepimpinan perlu dipraktikkan
sepanjang tempoh latihan industri ini dijalankan. Dengan ini pelajar akan lebih
berani untuk menerima sesuatu tugas dan tanggungjawab kerana merasa yakin untuk
melaksanakannya dengan penuh sempurna. Pelajar juga dapat membina keyakinan
diri dan mampu berdikari tanpa mengharapkan pertolongan dari orang lain. Pelajar yang mempunyai personaliti
individu yang positif menunjukkan nilai kualiti dan prestasi serta nama baik
Politeknik di mata masyarakat luar.
- Keberkesanan komunikasi
Kemahiran berkomunikasi dan berhubung dengan
orang ramai amat penting untuk dikuasai oleh pelajar. Komunikasi penting kerana ia adalah cara kita
menampilkan diri kepada masyarakat sekeliling. Pelajar perlu menyampaikan
sesuatu perkara atau maklumat dengan jelas, tepat dan ringkas serta bersopan
semasa berkomunikasi secara lisan, tulisan dan grafik mengikut kehendak
organisasi. Hal ini kerana sikap tersebut merupakan penunjuk prestasi bagi
amalan komunikasi yang berkesan. Selain itu, pelajar juga perlu mempunyai
kemahiran dalam melayan dan menghormati pelanggan tidak kira di luar mahupun
dalam organisasi.
- Mengamalkan etika dan peraturan kerja yang baik
Sikap
tanggungjawab dalam diri sangat penting dalam proses mematuhi etika dan
peraturan kerja yang baik. Oleh yang demikian, pelajar perlulah mengamalkan
disiplin diri yang baik iaitu mematuhi segala garis panduan serta peraturan
yang telah ditetapkan oleh organisasi, mengetahui tatacara pengurusan minimum standard organisasi, menepati masa dan
komited pada tugas. Langkah dan
prosedur keselamatan juga perlu sentiasa diimplementasikan oleh pelajar semasa
menjalani latihan di organisasi.
- Memberi pendedahan kepada alam pekerjaan
Latihan industri ini diwujudkan adalah
bertujuan untuk memperkasa kompetensi yang diperlukan. Kursus ini memberi
pelajar peluang pembelajaran di dunia pekerjaan untuk menerima pengalaman
praktikal supaya dapat mempertingkatkan kebolehpasarannya. Latihan Industri
juga memberi pendedahan kepada pelajar dari segi perkembangan teknologi,
komunikasi yang berkesan, amalan kerja berpasukan, polisi-polisi, prosedur dan peraturan-peraturan,
perspektif profesional dan pelaporan. Ia juga memberi peluang kepada pelajar
dengan suasana pekerjaan yang sebenar serta memberi bimbingan dan tunjuk ajar
kepada pelatih supaya lebih bersedia dalam menempuh segala cabaran. Selain itu,
pelajar juga memperolehi pengetahuan dan pengalaman yang bertujuan bagi melengkapkan diri untuk melangkah ke alam
pekerjaan yang sebenar nanti.
- Menghasilkan laporan latihan industri
Setiap pelajar yang telah menjalani latihan
industri selama satu semester diwajibkan menyediakan satu laporan latihan
industri yang lengkap mengenai segala kegiatan yang telah dilaksanakan dan
dipelajari semasa menjalani latihan industri. Pelajar perlu menulis catatan
laporan teknikal setiap hari mengikut aktiviti yang dilaksanakan. Persembahan
penulisan dipamerkan secara jelas dan terang sama ada dalam bentuk penulisan,
gambar rajah ataupun pengiraan yang berkaitan. Di samping itu juga, kekemasan
dan kebersihan buku laporan harian tidak seharusnya dipandang enteng oleh pelajar.
Hal ini kerana tahap kekemasan dan kebersihan sesebuah buku laporan harian
memberi impak sama ada positif atau negatif kepada pensyarah untuk membuat
penilaian tentang laporan harian yang ditulis. Pelajar juga perlu
menitikberatkan tentang ketetapan masa menghantar buku Laporan Harian untuk
pengesahan oleh penyelia sepanjang tempoh 20 minggu menjalani Latihan Industri.
Kepentingan
Latihan Industri
Latihan industri adalah bertujuan memberikan
peluang kepada para pelajar untuk lebih memahami alam pekerjaan yang
sebenar. Pelajar diberi peluang untuk mempraktikkan ilmu yang
diperoleh semasa sesi pembelajaran iaitu teori kepada praktikal. Teori dan praktikal merupakan dua perkara
yang sama penting untuk diadaptasi. Para
pelajar dapat berfikir diluar kotak pemikiran bahawa teori tidak semestinya
sama dengan praktikal, dengan kata lain apa yang kita pelajari tidak semestinya
sama dengan situasi sebenar. Antara
kepentingan latihan industri adalah:
- Pelajar dapat mempraktikkan suasana kerja yang sebenar.
- Pelajar dapat mengamalkan peraturan-peraturan keselamatan dalam industri.
- Dapat mengetahui masalah-masalah yang timbul dan cara penyelesaian.
- Dapat menambahkan lagi pengalaman dalam bidang yang diceburi.
- Dapat memperluaskan pergaulan dengan pekerja di organisasi.
No comments:
Post a Comment